Pedang Kembar Kerk
(episod 1)
M
|
atahari pagi sudah semakin terik. Keringat Zodan mula
memercik dek keterikan itu tetapi nampaknya Zodan seperti tidak terganggu.
Matanya tajam menyorot ke arah Dataran Ilmes. Padang rumput luas, rata dan
hanya ditumbuhi pokok-pokok renek selain rumput kelihatan seperti biasa sahaja.
Cuma hari ini tiada secuit angin pun menghembus seperti biasa.
Sebenarnya Zodan bukan memandang apa-apa pun. Dia mengelamun
mengimbau peristiwa 9 tahun dulu. Peristiwa yang tak mungkin dilupakan sesiapa
saja, baik penghuni Lembah Lilius yang bersempadan dengan Dataran Ilmes, atau
siapa sahaja yang tinggal di benua kecil Kirk ini pasti tidak akan lupa dengan jerit
pekik, dengan darah merah yang memercik
ke sana sini juga dengan bunyi denting-denting pedang yang amat mebingitkan
telinga. Kisah 9 tahun dulu itu jugalah yang menjadikan kaum Urk dari sebuah
kaum yang besar menjadi cuma 14 keluarga. Kalau dulu bangsa Urk amat hebat
dengan panglima-panglima mereka, dengan meriahnya pekan Zurr yang menjadi
tempat tinggal mereka. Pengunjung-pengunjung datang dari setiap pelusuk benua
Kecil Kirk ini untuk pelbagai urusan. Kemudian kemakmuran itu hilang sekelip mata hanya
kerana peristiwa 9 tahun dulu itu.
Zodan bertubuh tegap, kekar dan padanya tergambar watak
seorang pemimpin. 9 tahun dulu Zodan menjadi panglima Kaum Urk, bertempur di
Dataran Ilmes ini. Pedangnya penuh dengan darah, tubuhnya penuh luka, namun
tubuh kekar itu tidak mungkin rebah hanya kerana luka sebanyak itu. Angkatan
Kaum Orok menyerang mereka tatkala fajar masih belum bermula. Tanpa sedia
mereka terpaksa bertahan dengan kudrat yang ada. Biarpun darah kaum Urk itu
dari darah panglima, mereka tetap manusia yang pasti akan gentar dengan
serangan dari puluhan ribu askar yang memang terlatih dan lengkap. Anak kecil, orang
tua, juga kaum perempuan banyak yang terkorban. Ketika berlarutan perang hingga
ke pagi, Zodan tidak tahu berapa banyak musuh yang ditebasnya. Yang pasti Zodan
bukan pahlawan sembarangan. siapa sahaja musuh yang melintas pasti gugur
menyembah bumi. Dalam samar matahari pagi mata Zodan tersilau pada sesusuk
tubuh tegap tidak jauh daripadanya. Dia ialah Galon. Galon adalah ketua klan Glur
dalam puak Orok. Galon lah yang merancang segalanya. Kini Galon ialah
pemerintah Benua kecil Kirk. Yunon pemerintah terdahulu kaum Orok dikatakan
terbunuh semasa tidur ketika diserang penceroboh di istananya. Selepas pelbagai
khabar angin melanda, akhirnya, kumpulan Senat Orok melantik Galon sebagai
pengganti. Semasa pemilihan itu seorang dari senat Orok terbunuh. Kata orang
kerana dia seperti tidak bersetuju mengenai perlantikan Galon. Beliau pernah
menuduh Galonlah dalang pembunuhan Raja Yunon. Raja Yunon memang ganas, zalim
dan tidak begitu bijak, tetapi baginya Yunon lebih baik dari Galon. Selepas
menaiki takhta, Galon mula menyerang seluruh pelusuk benua Kirk. Banyak kampung
dan pekan musnah kerana keganasan Galon. Kebetulan kaum Urk adalah kaum yang
amat dibencinya. Bukan kerana mereka lebih berjaya, tetapi puncanya cuma satu.
Tiada yang pernah menyebabkan Galon rebah tewas di mana-mana pertarungan atau
pertempuran kecuali seorang Urk bernama Zodan.
Zodan berlari ke arah Galon yang cukup dikenalinya. Suatu
ketika Zodan pernah meletakkan mata pedang di leher Galon. Setelah satu
pertarungan di tebing Sungai Lilius yang menjadi sempadan kepada Dataran Ilmes,
pedang milik Galon tercampak dan sepatutnya ketika itu Galon sudah tersungkur
rebah dan tidak bernyawa, tetapi kelembutan hati Zodan membenarkan Galon terus
bernafas. Kini Galon sekali lagi di depannya. Dia tidak akan berlembut hati
untuk kali kedua. Langkahnya pantas dengan pedang terhunus terus menuju ke arah
Galon. Ketika itu dia terpandang seorang kanak-kanak sedang berlari dikejar
askar Orok. Langkahnya mati seketika. Lantas dia membuat keputusan untuk
menyelamatkan kanak-kanak itu. Askar Orok itu menjadi mangsa pedang Zodan
dengan mudah dan ketika Zodan mengangkat kanak-kanak itu, tangannya terasa
hangat dengan darah yang mengalir dari belakang kanak-kanak itu. Zodan tanpa
banyak berfikir terus membawa kanak-kanak itu keluar dari Dataran Ilmes. Sekali
lagi Galon terlepas dari mata pedang Zodan.
Perang terus berlanjutan hingga matahari hampir terbenam lagi.
Dentingan pedang juga tidak sebingit awal pagi. Raungan kesakitan juga semakin
kurang. Tentera Orok kelihatan di mana-mana. Kaum urk banyak yang rebah dari
yang masih berjuang. Kemenangan jelas milik Orok. Bandar Zurr lenyap. Dataran
Ilmes merah dengan darah. Galon tertawa megah dengan kemenangan itu. Bandar
Zurr malam itu terang dengan api dari rumah yang dibakar. Tiada satu pun
terkecuali. Dan Galon pasti tiada lagi kaum Urk di bumi ini.
Gallon sebenarnya silap. Disebalik lembah Lilius, dari barat
terdapat satu banjaran bukit yang juga dikenali dengan banjaran Tanur. Di
antara bukit-bukit yang berbanjar membentuk banjaran itu terdapat bukit kecil
yang padanya terdapat sebuah gua besar. Kewujudan gua itu tidak pernah
diketahui Galon. Hanya beberapa orang saja pernah ke situ. Antaranya Zodan
sendiri. Di situlah Zodan membawa anak kecil yang diselamatkannya serta
beberapa orang Urk yang tercedera. Anak kecil itu tertidur seketika. Barangkali
kesakitannya juga hilang sementara terlena. Di sudut gua yang lain ada juga
beberapa orang yang terselamat. Semua mereka penuh luka dan dalam kesakitan. Penderitaan
mereka memang memuncak, tambahan perut mereka pula seharian tidak diisi.
“jauh mengelamun saudaraku?”, satu suara singgah di telinga
Zodan lantas mengejutkan Zodan dari lamunan.
“ohh, Tikri. Dari mana saudaraku?”, Zodan tidak menjawab sebaliknya
bertanya kembali kepada lelaki yang menegurnya. Lelaki itu seorang yang agak
sasa tetapi sedikit berisi. Rambutnya seperti kaum Urk yang lain berwarna sedikit
kemerahan. Mata hijaunya merenung Zodan lembut. “aku kebetulan mencari sedikit
daun keladi ungu tadi. Isteriku minta untuk dijadikan ubat katanya. Kebetulan
terlihat saudaraku di sini. Seperti dalam kesusahan saja? Ceritalah padaku
kalau itu boleh meringankan beban.”
Tikri merupakan sahabat Zodan. Sebelum peperangan dia seorang
pembuat jarum serta alatan jahit lain seperti benang dan juga kain. Dia
memiliki kilang tenun dan merupakan antara yang paling kaya di Bandar Zurr.
Tikri bukan seorang panglima sepertimana Zodan tetapi Zodan amat menghormati
Tikri. Bukan kerana kekayaan Tikri tetapi ada sesuatu yang mengkagumkan Zodan
tentang Tikri. Buktinya selepas perang Zodan masih mengkagumi Tikri. Tatkala
membina semula masyarakat Urk di bekasan Bandar Zurr ini semua orang mengangkat
Zodan sebagai pemimpin mereka. Dan dengan rendah hatinya Zodan menerima dengan
syarat biarlah Tikri membantunya. Sesetengah dari kaum Urk yang tinggal tidak
faham kenapa Zodan begitu mementingkan Tikri.
“tiada apa saudaraku. Hanya mengambil angin. Lagipun kita
sudah lama dalam keadaan aman. Tiada apa yang merisaukan aku selain perang.
Agaknya Galon puas dengan apa yang dia miliki sekarang”, lembut Zodan mengeluh.
Suasana hening seketika, kerana masing-masing diam. Tikri seperti tahu apa yang
tersirat di hati Zodan ketika itu. Manakan tidak, dia juga melihat peristiwa
berdarah itu. Malah dia juga mengangkat pedang, Cuma kudrat seorang yang
biasanya menjahit dan menenun, akhirnya Zodan juga yang menyelamatkannya. “Ayuh
saudaraku, kita ke warung. Sepatutnya kita di sana, bukan berjemur di sini”,
akhirnya kata-kata Tikri itu menyebabkan Zodan tersenyum dan kedua mereka
mengatur langkah kearah keriuhan Bandar Zurr yang dibangunkan semula.
Zurr bukanlah Bandar besar seperti kota Galon. Kota Galon
dinamakan sempena nama rajanya. Di sana penuh dengan keseronokan. Dalam
keseronokan di sana terselit pula jenayah. Manakan tidak, Bandar itu dipenuhi
kaum Orok yang terkenal ganas serta kasar. Perempuan-perempuan kaum lain
dipaksa menjadi pelacur di sana. Selepas perang Kota Galon menjadi serba mewah
dengan kekayaan hasil perang. Dan kekayaan itu menjadikan kaum Orok ada yang
lupa diri, tamak serta mementingkan diri. Penjara untuk kaum Orok terpaksa
dibina bagi menyelesaikan masalah ini. Di Kota Galon juga terdapat penjara yang
menempatkan kaum lain yang ditangkap semasa perang. Kaum lain bukan tiada di
kota Galon, tetapi mereka terpaksa menjadi seperti kaum Orok untuk terus hidup
di kota itu. Lain pula di Zurr. Pekan kecil itu ada juga kegembiraan. Ada
warung tempat membasahkan tekak atau menghilangkan lapar. Ada juga pentas untuk
acara nyanyian yang biasa dibuat sebulan sekali. Bahkan di Bandar Zurr juga
terdapat sekolah untuk anak-anak belajar menulis, mengira malah permainan
pedang juga diajar di situ.
Zoltan mengangkat pedangnya ke atas, matanya memandang mata
pedang dengan penuh minat. Kemudian diturunkan pula ke bawah. Dia melibas
pedang itu sekali ke kanan dan sekali ke kiri. Dia seperti mengukur berat
pedang itu walaupun sudah setahun menjadi miliknya. Pedang itu di hadiahkan
oleh ayah angkatnya, Zodan. Dia sendiri terkejut semasa Zodan menyerahkan
Kilesius kepadanya. Kilesius adalah nama pedang itu. Kilesius bermakna putih
dalam bahasa lama kaum yang menghuni benua Kirk ini. Kononnya Kilesius
mempunyai saudara bernama Kuron yang bermakna hitam. Mengikut lagenda Kilesius
dan Kuron ditempa dengan 70 logam yang sama dan ditempa pula oleh penempa yang
paling hebat ketika itu. Kilesius juga dikatakan berumur ratusan tahun, anehnya
tiada sebarang karat padanya. Beza Kilesius dan Kuron Cuma campuran 70 logam
itu diterbalikkan sewaktu menempa Kuron. Hasilnya Kuron menjadi hitam
sebagaimana namanya, tidak seperti Kilesius yang berkilat. Hulu Kilesius dibuat
dari gading berwarna putih. Di tengahnya terdapat ukiran berbentuk seekor
helang dengan kakinya terbuka menyambar sesuatu seperti bentuk benua Kirk. Mata
Kilesius tidak ada satu tanda seperti sumbing atau calar. Di tengah pula
terdapat tulisan Kirk yang bermaksud “PUTIH” yang menjadikan pedang ini
bernama.
Sewaktu hampir ajal, penempa berkenaan mewariskan
pedang-pedang itu kepada 2 orang anaknya. Pesannya, tidak akan bertempur bagi
pemilik kedua pedang ini sampai bila-bila pun. Sejak dari itu Kilesius dan
Kuron diturunkan dari satu pemilik kepada pemilik yang lain. Zodan juga tidak
tahu di manakah Kuron berada. Mengikut lagenda Kuron dan Kilesius pasti bertemu
dan menyelamatkan benua Kirk satu masa nanti. Apa yang Zodan tahu Kilesius dan
Kuron seiras Cuma warna sahaja yang membezakan kedua bilah pedang itu. Itulah
yang dipesan Zodan kepada Zoltan. Setiap pemilik Kilesius atau Kuron perlu tahu
asal-usul pedang berkenaan. Pada bahu mereka terpikul satu amanah menyelamatkan
benua Kirk sebagaimana disebut dalam lagenda. Jika Kilesius bertemu Kuron satu
masa nanti, pemilik keduanya hendaklah berusaha menyelamatkan Benua kecil Kirk
dari apa jua malapetaka.
Zoltan kini 20 tahun. Dia masih ingat wajah ibunya yang
menyuruhnya lari sewaktu askar-askar orok menarik tangan ibunya. Ayahnya sudah
terbujur kaku. Ketika berlari di celah-celah pertempuran dia disambar Zodan.
Dia Cuma sempat melihat wajah Zodan yang seperti singa mengendong tubuh
kecilnya seketika. Kemudian dia pengsan dan setelah sedar dia berada di sebuah
gua. Tubuhnya penuh dengan luka yang tidak terasa pula kepedihan. Mungkin
kesakitan akibat kehilangan ayah dan ibunya itu menghilangkan rasa sakit yang
lain. Sejak itu Zodan menjadi ayahnya, dan Ainur yang lebih muda 2 tahun
menjadi temannya setiap hari. Ainur adalah anak gadis Zodan. Ainur walaupun
masih kanak-kanak, pandai merawat mereka yang sakit. Dia turut menemani Ainur
semasa merawat. Kadang-kadang pakcik Tikri mengusik mereka dengan mengatakan
mereka nanti akan dikahwinkan. Merah muka Ainur menahan malu ketika diusik
begitu. 2 3 hari juga dia tidak bercakap dengan Zoltan. Malu agaknya. Setelah sekian
lama diusik dia dan Ainur jadi terbiasa dan biasanya mereka buat seperti tiada
apa yang pelik dengan usikan itu. Cuma setelah Ainur berusia 16 tahun dan dia
pula 18 tahun, hubungan mereka jadi sedikit jauh. Ainur seperti malu-malu
dengannya. Kebetulan pula dia sendiri yang minta tinggal berasingan dengan
Zodan. Dalam hatinya memang terasa janggal bila berdekatan dengan Ainur.
Maklumlah Ainur gadis sunti yang memang cantik pada pandangan siapa saja. Dia
pula salah seorang yang amat mengkagumi kecantikan itu. Kadang-kadang bila ke
rumah Ainur untuk berjumpa Zodan, sempat juga dia melihat Ainur tersenyum
padanya. Dan hatinya berbunga.
Galon mengerutkan dahi seperti memikirkan sesuatu. Siang tadi
sewaktu makan, seorang dari panglimanya menyatakan sesuatu yang paling tidak
suka dia mendengarnya. Berita itu menyebabkan dia tidak menghabiskan juadah
yang biasanya jarang tidak dihabiskan. Di benua Kirk ini masih ada lagi kaum
Urk yang hidup makmur di bekasan Bandar Zurr yang pernah dihancurkannya dulu.
Pada hematnya, Urk sudah hancur bersama Bandar Zurr. Tiada lagi kaum yang
menjadi duri dalam dagingnya itu. Padanya Urk adalah pepijat yang patut
dilenyapkan dari muka bumi ini. Dalam benaknya mula membayangkan wajah bengis
Zodan. Wajah itu kembali menghantuinya setelah sekian lama tidak muncul. Di
bumi ini tiada seorang pun mampu menandinginya kecuali Zodan. Dia mula merasa
tergugat dan rasa tidak senang mula menyelubungi hati Galon. Setelah berita itu
sampai ke telinganya sudah dua orang pembantunya ditengking tanpa sebab. Memang
dia terkenal dengan bengis, tetapi tidak pula dia sampai menengking pembantunya
tanpa sebab. Cuma hari ini Galon seperti tidak keruan. Sudahnya Galon
membiarkan matanya terbuka walaupun waktu sudah menjelang fajar.
Galon amat menyesal kerana tidak menghabiskan Urk dulu.
Paling tidak dia sepatutnya menyiasat, apakah benar Kaum Urk sudah dihapuskan.
Bahkan dia tidak mencari mayat Zodan yang memang dibencinya. Dia sendiri hairan
bagaimana dia menjadi lalai seperti itu. Galon lupa tentang takdir. Baginya
semua aturan hidup ditentukan oleh dirinya. Dia lupa pada Yang Maha Kuasa.