Friday, 5 July 2013

PEDANG KEMBAR KIRK EPISOD 2

PEDANG KEMBAR KIRK EPISOD 2

Zamir menyandarkan tubuhnya ke sebatang pokok rendang. Perjalanan yang ditempuhinya seharian amat memenatkan. Zamir membuka bekas makanan dan mula menggigit sebahagian dari roti yang memang dibawa sebagai bekal. Semalam dia masih di Zolur. Zolur terletak di bahagian selatan kota Galon. Zolur wilayah yang tidak pernah diusik tentera Orok. Kedudukan Zolur yang agak terpisah dari wilayah-wilayah lain kerana dibatasi banjaran Tanur yang bersempadan dengan Zurr menyebabkan tentera Galon tidak menyerang mereka. Sebenarnya orang-orang Zolur juga dari keturunan yang agak hampir dengan kaum Urk. Ada orang tua mengatakan susur galur keluarga mereka sama, Cuma agak berjauhan terpisah dengan banjaran Tanur di sebelah timur. Memang dari bentuk badan dan wajah mereka tidak banyak berbeza.

Zamir seorang anak muda berusia 21 tahun. Dia amat berbakat dalam ilmu pedang. Semenjak berusia 18 tahun namanya mula meniti di seluruh pelusuk benua Kirk. Kadang-kadang mereka sendiri tidak tahu usia sebenar Zamir. Zamir pernah bertarung dengan Kirum, jeneral utama dalam angkatan Orok. Kirum tidak pernah tewas sebelum itu. Setelah bertarung dalam pertarungan yang agak sengit, Kirum akhirnya terbunuh dan kematian Kirum itu membuatkan Galon mengamuk mencari manusia bernama Zamir. Zamir seperti hantu, susah dikesan kerana pada pandangan biasa, kelihatan anak muda itu tidak seperti pemain pedang yang hebat. Dia Cuma seorang pemuda biasa yang Cuma berjalan dengan 2 bilah pedang. Walaupun mempunyai 2 pedang, tidak pernah dalam hidupnya dia membuka pedang yang dibalut rapi dengan kain hitam semasa bertarung. Mengikut mereka yang bercerita, pedang itu jika dibuka pembalutnya pasti akan menimbulkan suasana yang amat mengerikan. Dalam sibuk bercerita, ada pencerita-pencerita ini sampai bercerita kepada Zamir sendiri.

Sebenarnya Zamir bukan membalut pedangnya kerana takut kengerian yang akan berlaku. Pedang yang dibalut itu adalah pedang pusaka dari ayahnya. Pedang itu ada mitos dan lagenda yang diceritakan dari pemain-pemain pedang di benua Kirk. Itulah Kiron, saudara kembar Kilesius yang menjadi milik Zoltan kini. Cuma Zamir tidak pernah mengenali Zoltan. Mereka tidak pernah bertemu apa lagi berkenalan. Nama Zamir mungkin terkenal tetapi tidak Zoltan. Zoltan memang hebat dalam ilmu pedang tetapi tidak pernah bertarung, lain halnya dengan Zamir. Sudah banyak pemain-pemain pedang handalan yang ditewaskan. Zamir bukan lah suka membunuh, jadi setiap kali selepas memenangi pertarungan maka bertambah lagi seorang musuh yang berdendam dengan nya. Lantas atas nasihat gurunya, Zamir menutup mukanya semasa bertarung supaya tidak dikenali musuh. Ada juga yang terpaksa Zamir bunuh semasa pertarungan. Antaranya Kirum. Kirum menyerang hendap dari belakang semasa Zamir meninggalkan pertarungan yang baru sahaja selesai. Bagaimanapun Zamir amat berhati-hati dan bersedia dengan perkara seperti ini. Akibatnya Kirum terpaksa kehilangan kepala sebagai bayaran untuk sikapnya.

Sambil menikmati cebisan roti, Zamir mencari kalau-kalau ada orang untuk bertanya pekan atau kota. Sudah lama dia tidak merebahkan badan di atas tilam. Kalau ada pekan mungkin ada rumah tumpangan untuk Zamir bermalam. Kemudian, dari kejauhan  dia mendengar suara gadis sedang ketawa dan berbual. Dari jauh dia melihat 3 gadis sedang berbual dengan agak rancak dan seperti tidak sedar tentang dirinya yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Zamir lantas menuju ke arah mereka dan ketika itulah ketiga-tiga nya terperanjat. Dengan wajah ketakutan mereka berpeluk sesama sendiri. Zamir tersenyum sahaja melihat keadaan gadis-gadis itu. “ saudari! Jangan takut. Saya bukan orang jahat. Cuma ingin bertanya sahaja”. Setelah beberapa ketika barulah ketiga mereka melepaskan pelukan. Agaknya percaya dengan ucapan Zamir yang memang ikhlas itu. “ohh… memang kami takut. Saya dan adik-adik saya terfikirkan penculik. Sudah banyak gadis yang hilang sebelum ini”, gadis yang seperti paling tua menjawab. “saya ini seorang musafir. Datang dari Zolur. Kalau ada pekan atau Bandar bolehlah saya menumpang tidur. Maksud saya mungkin ada rumah tumpangan di situ”,Zamir bersuara. “pekan agak jauh dari sini. Kalau tidak keberatan marilah berjumpa dengan bapa kami. Mungkin dia boleh membantu saudara”,ungkapan gadis itu akhirnya membuat Zamir menurut sahaja langkah mereka.

Dari kejauhan kelihatan rumah-rumah yang hampir sama bentuk tersusun rapi. Ada jalan yang cantik di antara rumah-rumah tersebut. Dalam hati Zamir sedikit teruja dengan keindahan kampung gadis-gadis yang baru ditemuinya tadi. Setelah beberapa minit, mereka tiba ke sebuah rumah yang Zamir fikir mungkin rumah gadis-gadis tadi. Setalah salam diberi, muncul seorang lelaki dalam usia lewat 40an di pintu. “perkenalkan saudara, ini bapa kami. Saudara bolehlah bertanya apa-apa padanya. Saya dan adik minta diri. Assalamualaikum”, gadis tadi meminta diri sambil berlari menuju ke arah belakang rumah mereka. Kemudian terdengar lagi mereka tertawa. Mungkin Zamir sendiri yang menjadi topik perbualan mereka kali ini.

“Assalamualakum pakcik. Saya dari Zolur. Berjalan hanya mengikut kaki. Tak ada tempat untuk dituju. Malam pun sudah hampir. Kalau ada pekan berdekatan mungkin saya boleh bermalam di situ.”, pantas Zamir mengucapkan apa yang sepatutnya kepada lelaki didepannya. Sengaja Zamir tidak menyebut namanya. Takut juga kalau ada di kalangan musuhnya di situ. “ohh. Walaikum salam. Nak! Kalau dari sini pekannya agak jauh. Mungkin dalam 3 jam berjalan baru sampai. Siapa nama anak ini. Kalau boleh pakcik ingin juga tahu nama orang yang bercakap dengan pakcik ni”, kata-kata lelaki ini membuatkan Zamir serba salah. “Err. Pakcik, bukan sengaja saya mau berahsia. Tetapi sekadar berhati-hati. Saya ini orang merantau kadang pernah berbuat silap, mungkin ada musuh sedang menunggu saya. Saya harap pakcik tidak marah dengan jawapan saya ini”,perlahan Zamir bersuara. “kalau begitu tidak apa-apa anakku. Pakcik rasa anak ini bukan orang jahat, jadi malam ini tidur sahaja di rumah pakcik. Boleh juga jadi teman berbual”, sambil tersenyum Zamir hanya menggangguk tanda setuju.

Malam sudah merangkak agak jauh. Makanan yang dihidangkan oleh anak-anak Pak Titus amat lazat sekali. Mungkin selalu sangat dengan roti yang menjadi bekalan menyebabkan Zamir begitu berselera. Zamir mengangkat bungkusannya untuk di simpan ke suatu sudut di dalam rumah Pak Titus yang baru dikenali petang tadi. Pelawaan Pak Titus sekurang-kurangnya menjadikan Zamir tidak tidur di hutan seperti selalu. Dia amat bersyukur dengan pelawaan itu. Dia juga gembira dengan layanan keluarga itu. Baginya Pak Titus seorang yang amat baik. “banyak barang anakku?”, tegur Pak Titus menyebabkan Zamir kaget seketika. “uhh, terkejut saya pakcik, adalah sikit”, jawabnya ringkas. Dia tahu Pak Titus cuba mengajaknya berbual. Lagipun memang dia gembira bila ada yang ingin berbual dengannya ketika ini.

“Pakcik. Nama saya Zamir”, tegas Zamir sambil merenung mata Pak Titus untuk melihat reaksi Pak Titus. “Zamir… pendekar yang selalu orang katakan itu kah?”, kaget Pak Titus memandang Zamir. “mungkin juga pakcik. Saya tidak tahu ada yang bercerita tentang saya. Ini pedang saya”, lantas Zamir membuka pedangnya sambil menghulurkannya pada Pak Titus. Di Kirk, sudah menjadi adat kalau tetamu biasanya menghulurkan pedang kepada tuan rumah tanda bersahabat. “cantik pedang ini. Pakcik pun juga pernah menjadi pemain pedang, lama dulu dan tak lah terkenal macam nak Zamir. Cuma boleh pakcik bertanya, betulkah nak Zamir ada 2 pedang?”. Pertanyaan itu paling tidak mahu didengar oleh Zamir. Padanya soalan itu boleh mengundang bahaya pada dirinya juga keluarga Pak Titus. Lama dia berfikir. Memikirkan Pak Titus bukan lah orang jahat yang ingin mengambil kesempatan, bahkan kelihatan Pak Titus juga tidak membahayakan dirinya, Zamir pun menarik keluar satu bungkusan panjang miliknya. Tanpa menjawab Zamir membuka bungkusan itu dan keluarlah sebilah pedang dengan berbungkus pada matanya. ulu pedang itu dibuat dari gading berwarna hitam. Terdapat seekor helang sedang menerkam sebuah pulau seperti bentuk benua Kirk. “Kiron…”, itu sahaja ungkapan Pak Titus yang menyebabkan Zamir terpinga-pinga. “siapakah sebenarnya Pak Titus ini?”, fikirnya. “pakcik kenal dengan pedang ini?”, soalnya. Pak Titus hanya mengangguk. Setelah seketika dia berpaling pada Zamir. “Anakku Zamir, anakku jangan sesekali biarkan sesiapa lagi melihat pedang ini. Ini pedang terhebat. Pemiliknya pasti seorang yang amat hebat. Jika sembarangan orang pasti tidak boleh menghunus Kiron. Nanti jika berpeluang, pergilah ke sebalik banjaran Tanur, firasat pakcik di situlah Kilesius berada. Kirk dalam bahaya dan kamu dan pemilik Kilesius perlu menyelamatkan Kirk.”,panjang sekali ulasan Pak Titus. Untuk pertama kalinya Zamir mebuka bungkusan mata Kiron. Di situ ada tulisan “HITAM” tertulis di atas mata Kiron. Mata Kiron tidak seperti Kilesius, berkilat. Mata Kiron hitam seperti warna gangsa, malah lebih pekat hitamnya. “insyaAllah pakcik. Itulah tujuan saya. Mencari Kilesius”. Setelah itu, Zamir menyimpan kedua pedangnya. Mereka hanya berbual tentang perkara-perkara lain sehingga kedua nya tertidur.

Galon masih lagi memikirkan kelalaiannya semasa menyerang Zurr 9 tahun dulu. Benaknya selalu membayangkan Zodan datang ke istananya lalu membunuhnya. Pengawal? Bukan Galon tidak percaya dengan pengawal-pengawal yang ada. Kalau Zodan yang datang, pengawal-pengawal istana itu hanya mampu membolehkan dia bersembunyi sahaja. Itu pun jika mereka Berjaya melengahkan Zodan. Zodan bukan manusia biasa pada Galon. Tetapi tidak pernah sekalipun Galon menyebutnya di depan orang. Pada pandangan orang Galon tidak pernah mempunyai istilah takut dalam dirinya.

Pengganti Kirum juga nampaknya tidak sehebat Kirum. Entah macam mana jeneral kanannya itu boleh tewas, Galon juga tidak pasti. Ataupun dalam dunia ini sudah ramai pendekar yang hebat muncul. Mungkin juga lebih hebat dari dirinya dan Zodan. Tetapi mengapa tidak muncul di kalangan kaum Orok? Itu lah yang memeningkan Galon. “Ahh, jika ada di kalangan kaum Orok yang hebat pasti takhta ini sudah lama di rampas”, keluhan terakhir Galon ini ternyata menyebabkan Galon tersenyum sendirian. Lihat sahaja dirinya. Kuat dan tidak terkalah. Langsung yang pertama dilakukannya dulu adalah merampas takhta. Dan kini dialah Raja Agung Kirk. Semasa Raja Yunon dulu kaum Orok hanyalah kaum kasar yang kerjanya bergaduh sesama sendiri sahaja. Kini kaum Orok kaya, hebat, ditakuti dan paling nyata berkuasa. Di bumi kirk tidak ada kaum lain yang setanding Kaum Orok. Ini semua kerana Galon. Dia menjajah, menyerang malah menghapuskan banyak etnik-etnik lain di benua Kirk ini. Tetapi itu semua tidak bererti jika Zodan dan kaumnya masih ada.

Galon teringat ketika berumur 20an dulu. Nama nya cukup gah di benua Kirk dengan kegagahan dan kehebatannya bermain pedang. Pantang terdengar ada pemain pedang yang hebat pasti Galon berusaha untuk mencabar pemain pedang berkenaan. Satu demi satu pendekar tewas di tangan Galon, sehinggalah suatu hari Galon bertemu dengan Zodan. Zodan bukan lah pemain pedang ternama. Apa yang menarik, Galon secara tidak sengaja terpandang hulu pedang Zodan, bentuk gading putih yang menjadi ulu pedang itu amat menarik dan kelihatan hebat pada pandangan matanya. Benar, kebanyakan orang mempunyai pedang di Kirk, tetapi jika memiliki pedang sehebat itu pasti bukan sembarangan orang. Lantas tanpa disedari anak muda itu, Galon mengekori nya secara senyap-senyap. Niatnya bila di tempat yang sunyi nanti dia akan menewaskan pemuda itu lantas memiliki pedang hebat miliknya.

Galon tahu pemuda itu dari kaum Urk. Telahannya ternyata benar bila pemuda itu menuju ke Zurr yang memang wilayah Urk. Semasa menunggu kedatangan perahu untuk melintasi sungai Lilius, Galon merasakan itulah kesempatan terbaik yang ada. Dia lantas melompat ke depan pemuda itu sambil ketawa sombong. “ heii budak. Aku rasa, engkau membawa sesuatu yang aku rasa milik aku. Serahkan saja pedang itu dan kita lupakan yang kita pernah bertemu!!”, sergah nya, namun pemuda itu tenang sahaja. Galon jadi serba salah. “benar, budak ini bukan orang sembarangan”, dalam hatinya terdetik. “Hei Galon, aku ni orang biasa, tidak bernah bermusuh apa lagi mengambil hak milikmu”,terkejut Galon mendengar kata-kata pemuda itu. Kenapa pemuda itu tahu namanya. Dan apakah dari tadi lagi dia menyedari bahawa Galon mengekorinya secara senyap.

Galon bukan jenis yang banyak berbahasa. Dengan langkah hebat dihunusnya pedang miliknya lantas membuka langkah pertama menyerang pemuda itu. Menakjubkan bila pemuda itu mengelak serangan Galon tanpa menghunus pedang pun. Buat pertama kali dia mula terasa perasaan yang tidak enak.,“Mungkinkah aku akan tewas hari ini”. Galon berpaling untuk menyerang lagi. Kakinya dikukuhkan agar serangan kali ini tidak lagi sia-sia. Pandangan bengisnya menikam wajah pemuda di depannya. Pedangnya digenggam kukuh. Mata mereka bertentangan. Pemuda itu mula menghunuskan pedang. Kali ini Galon dapat melihat sinaran dari mata pedang yang begitu diidamkannya. Berkilat dan kelihatan amat hebat sekali. Keinginan untuk memiliki pedang itu membuak-buak dalam dadanya. Namun dia sedikit gusar kerana musuhnya kali ini begitu tangkas sekali. “siapa kau hei budak?, langkahmu Nampak bagus tetapi sebelum engkau mati sekurang-kurangnya aku tahu aku telah membunuh siapa”, angkuh saja Galon bersuara. Tangannya menggenggam terus pedang miliknya. Kali ini pasti kepala pemuda itu terpisah dari tubuhnya. Itu tekad Galon waktu itu. Galon tidak menunggu jawapan dari pemuda itu tetapi terus saja menyerang kali kedua. Kali ini matanya tersilau dengan satu kilauan kilat dari pedang pemuda itu menangkis pedang yang dihayunkan. Sekali lagi Galon cuba menetak, tetapi hayunannya masih terhalang dengan tangkisan mudah dari pemuda itu. Setelah mencuba beberapa kali, Galon menetapkan semula langkahnya. “hebat sekali budak ini”, fikirnya. Setelah seketika dia menyerang lagi, kali ini hayunan pedangnya di buat dengan sekuat hati. Apa yang amat pelik Galon lihat ialah pemuda itu tidak menagkis lagi tetapi turut menghayun pedang miliknya secara selari dengannya. Tiba-tiba pedang mereka berlaga dan dentingan yang amat membingitkan telinga terhasil. Tangannya terasa kebas dan apa yang ditakuti Galon terjadi juga. Pedangnya melambung tinggi dan jatuh jauh dari nya. Dan Sesuatu sudah berada di lehernya. Nafasnya mencungap, bukan sahaja keletihan semasa pertarungan tadi menyebabkan dia tercungap, tetapi mungkin itu lah saat terakhir dalam hidupnya. Matanya terasa gelap walaupun Galon pasti dia tidak memejamkan mata. Ketika itu perlahan-lahan dia menurunkan lututnya ke tanah dan membiarkan sahaja pemuda itu memutuskan bila saat untuk memisahkan kepala dari tubuhnya. “aku bukan siapa-siapa, tetapi aku pasti nama aku akan engkau ingat sampai bila-bila Galon, namaku Zodan”, akhirnya pertanyaan Galon tadi dijawab juga. Galon masih melutut semasa melihat Zodan meninggalkannya lalu menyeberang sungai Lilius. Dia tewas, dan peristiwa itu hanya dia, Zodan, dan pengayuh perahu itu sahaja yang tahu. Sehari selepas itu pengayuh perahu itu dibunuhnya. Dan tiada siapa yang tahu selain Zodan bahawa Galon pernah ditewaskan, bahkan dengan mudah.

Kini peristiwa itu sudah lama berlalu. Ternyata apa yang Zodan bisikkan padanya dulu benar-benar terjadi. Dia tidak pernah melupakan nama Zodan. Dia merenung cermin di bilik tidurnya. Tubuhnya masih sasa, Cuma wajahnya tampak lebih tua. Rambutnya juga sudah banyak yang putih berbanding warna hitam, malah keningnya juga dihiasi dengan bulu-bulu berwarna putih. Dia juga masih pemain pedang terhebat. Setiap yang dihadapinya pasti mengucapkan selamat tinggal kepada dunia. Sudah ratusan malah ribuan nyawa yang melayang di mata pedangnya. Pedang yang sama pernah tercampak sewaktu melawan Zodan dulu.

Selain Zodan, Galon tidak takut pada sesiapa. Sekarang dia amat mahukan seorang yang bernama Zamir. Sehebat mana dia atau selincah manapun Galon pasti boleh menewaskan Zamir. Itulah keyakinan Galon. Banyak perisik dihantarnya pulang tanpa dapat mengesan Zamir. Kata mereka Zamir menutup muka semasa bertarung. Itu lah yang membingungkan Galon. Kenapa perlu menutup muka. Biarlah semua orang kenal dengan kita yang hebat bermain pedang. Pada Galon Zamir seorang pengecut. Pengecut yang berselindung di balik penutup muka. adakah Zamir itu Zodan atau mempunyai kaitan dengan Zodan. Pernah juga Galon menyiasat pedang yang digunakan Zamir. Adakah pedang yang sama yang pernah menewaskannya dulu. Bukan. Zamir membawa 2 pedang. Adakah pedang kedua itu pedang yang pernah menewaskannya dulu?. Galon terus berteka-teki. Akhirnya Galon terlena dalam tandatanya.

Zodan melihat Zoltan menguis-nguis tanah di bawah pokok di depan rumahnya dengan asyik. Anak muda itu semakin hari semakin menjadi seperti dalam jangkaannya. Ilmu pedang yang diturunkan kepada anak muda itu semakin dikuasai. Malah kadang-kadang Zodan merasakan Zoltan lebih hebat darinya semasa seusia itu. Kerana itu lah dia tidak teragak-agak mewariskan Kilesius pada Zoltan. Lagipun dia hanya mempunyai seorang anak perempuan untuk mewariskan sebilah pedang. Jesteru Zodan memilih Zoltan. Zoltan juga seperti anaknya sendiri. Ayah Zoltan dulu bukan lah pahlawan seperti dirinya. Hanya seorang petani biasa di Zurr. Ibunya pula adalah sepupu Zodan sendiri. Jadi Zoltan bukanlah orang lain dalam hidupnya. Hubungan kekeluargaan menjadikan Zodan terasa bertanggungjawab untuk membesarkan Zoltan. Semasa menyelamatkan Zoltan dulu, dia bukan sengaja mahu meninggalkan ibu Zoltan. Dalam hiruk pikuk pertempuran, dia mencari sepupunya itu tetapi tidak dapat ditemui. Malah ramai juga yang Zodan selamatkan hari itu tetapi bukan ibu Zoltan. Hampir 3 hari Zodan berulang alik dari gua ke bekasan Bandar Zurr mencari ibu Zoltan tetapi tetap juga hampa. Jadilah Zoltan seorang anak yatim piatu. Dia membesarkan Zoltan dengan penuh kasih sayang. Zoltan juga amat menghormatinya. Malah Zoltan memanggilnya ayah seperti seorang anak. Penduduk Zurr sendiri sudah menganggap Zoltan sebagai anaknya walaupun kebanyakkan mereka tahu dia bukan lah bapa kandung Zoltan. Dia juga pernah terfikir untuk kahwinkan saja Zoltan dengan anaknya. Cuma dia terfikir adakah Zoltan mahukan anaknya. Ainur bukan masalah baginya. Anak perempuanya itu tidak pernah membantah cakapnya. Lagipun Zodan tahu Ainur memang menyukai Zoltan. Cuma Zoltan saja yang susah dibacanya. Zoltan memiliki raut wajah yang agak tampan. Dalam ketampanan Zoltan selalunya terselit wajah tanpa riak seperti tiada perasaan. Zodan sendiri tidak tahu samada Zoltan sedih, suka atau apa saja perasaan pada wajah Zoltan. Yang Zodan tahu Zoltan amat bersungguh bila bermain pedang.

No comments:

Post a Comment